Polis perhebat tangkap dalang pencemaran Sungai Kim Kim

Polis perhebat tangkap dalang pencemaran Sungai Kim Kim

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberitahu pihaknya sudah memiliki petunjuk bagi memberkas suspek utama terbabit dengan pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

Menurutnya, polis kini sedang memperhebat usaha mengesan dan memberkas suspek berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan perkara itu secara terperinci kerana masih dalam siasatan dan operasi pihak polis.

“Polis ada petunjuk agak jelas dan usaha mengesan (suspek) kini diperhebat, kami harap orang ramai memberi kerjasama termasuk mengawal aspek keselamatan.

“Sebanyak sembilan lokasi sekatan jalan raya dibuat sekitar Pasir Gudang dengan menempatkan tiga platun membabitkan 150 anggota.

“Lori yang berkaitan juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan tertentu bagi perkara ini (pencemaran) berulang,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Rawatan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini.

Mohamad Fuzi turut memberitahu sebanyak 76 laporan polis diterima setakat tengah hari tadi sejak pencemaran Sungai Kim Kim mula berlaku pada 7 Mac lalu.

“Laporan dibuat mangsa dan keluarga mangsa berhubung pencemaran udara di Pasir Gudang dan jumlah (laporan) dijangka terus meningkat,” jelasnya lagi.