Polis perlu beri jaminan layan serupa tanpa mengira kedudukan

Polis perlu beri jaminan layan serupa tanpa mengira kedudukan

Ahli Parlimen Segambut (DAP), Lim Lip Eng meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberi jaminan bahawa pihak polis akan memberikan layanan serupa kepada sesiapa sahaja yang membuat laporan polis tanpa mengira gelaran atau kedudukan dalam masyarakat.

“Bolehkah Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberi jaminan bahawa beliau juga akan menghantar pegawai polis ke UK bagi merakam kenyataan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, jika saya membuat laporan polis terhadap kenyataan Clare yang dibuat di UK?” soalnya.

Menurutnya, awal minggu ini, tiga pegawai polis dihantar dari Malaysia untuk merakam kenyataan Raja Petra Kamaruddin di UK berhubung dua laporan polis terhadap blogger itu oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali kerana memfitnah.

“Clare pula mendakwa dua perkara antara lain, dalam pernyataan pembelaannya berkaitan saman fitnah yang difailkan terhadapnya di UK oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Pertamanya bahawa Timbalan Pendakwaraya SPRM, Kevin Morais pada bulan Julai 2015 menghantar kepadanya draf pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai skandal 1MDB yang kemudian didakwa oleh kerajaan sebagai palsu. Kevin dibunuh pada bulan September tahun yang sama.

“Dakwaan Clare yang kedua dalam pernyataan pembelaannya tersebut adalah bahawa mantan presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan memberitahunya bahawa beliau telah mendapat tahu daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai mengenai dakwaan bayaran berjumlah RM90 juta oleh Najib kepada beberapa orang pimpinan Pas.

“Justeru, adakah tiga orang pegawai polis akan dihantar ke UK untuk merakam kenyataan Clare berkait dua dakwaan berat itu yang melibatkan pertuduhan jenayah terhadap Perdana Menteri dalam skandal berbilion ringgit 1MDB, dan tuduhan bahawa Perdana Menteri telah memberi ‘suapan’ berjumlah RM90 juta kepada PAS; sekiranya saya membuat laporan polis di Kuala Lumpur?

“Jika ya, saya tidak kisah meluangkan masa selama dua jam atau lebih untuk membuat laporan polis dan disoal jawab oleh pegawai penyiasat,” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

“Bukan mudah untuk pihak polis kita membuka kertas siasatan dalam satu dakwaan fitnah, apatah lagi menghantar tiga orang anggota ke UK. Adakah itu semata-mata kerana kedudukan Apandi sebagai Peguam Negara?” soal Lim.

Adakah Bukit Aman akan tetap menghantar pegawainya ke UK jika pengadu itu hanya orang biasa, contohnya si Ali atau si Ah Lee yang kerjanya membancuh kopi di Taman Tun Dr Ismail? Pemimpin pembangkang pastinya tidak akan difitnah berkali-kali di media sosial dan media arus perdana sekiranya pihak polis melayan dan menyiasat semua kes fitnah secara adil, saksama dan serius, jelasnya.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote