Polis perlu siasat segera aliran wang ke akaun Pas, kata Adun Permatang Pasir

Polis perlu siasat segera aliran wang ke akaun Pas, kata Adun Permatang Pasir

Keputusan Pas menarik balik saman fitnah terhadap Sarawak Report (SR) ekoran dakwaan pemberian dana 1MDB berjumlah RM90 juta oleh Datuk Seri Najib Razak kepada pimpinan tertinggi Pas amat mengejutkan.

Malah kompas politik Pas yang berubah secara mengejut melawan aras kebangkitan rakyat dengan membela skandal 1MDB turut menimbulkan pelbagai persepsi kepada masyarakat.

Demikian dinyatakan olehe Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Faiz Fadzil selepas meraikan warga emas dan masyarakat keturunan Cina di Dun Permatang Pasir, Permatang Pauh.

Faiz Fadzil turut meraikan warga emas di Permatang Pauh.

Menurut Faiz lagi, penarikan saman tersebut memperlihatkan dakwaan penerimaan dana RM90 uuta tersebut benar.

Oleh kerana itu katanya, Pas dan pemimpin yang menerima dana tersebut juga harus disiasat oleh pihak Polis serta SPRM.

“Akaun pimpinan Pas tersebut juga boleh dibekukan selaras dengan peruntukan seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA).

“Seksyen ini turut memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi penerima aliran pengubahan wang haram dan pihak berkuasa boleh membekukan mana-mana akaun yang disyaki terlibat.

“Sehubungan itu pemimpin Pas yang didakwa terlibat juga boleh disiasat dibawah Akta SPRM samada pemberian dana RM90 juta tersebut merupakan suatu suapan bagi mendorong Pas untuk menyokong Umno atau sebaliknya, ” tegas beliau lagi.

Sejajar dengan itu kata Faiz lagi, tiada sesiapa yang boleh boleh terlepas dari siasatan skandal mega 1MDB kerana penyelewengan ini begitu besar dan menjijikkan.

“Keluhuran undang-undang perlu ditegakkan dengan satu siasatan yang adil dan menyeluruh.

“Ia perlu disegerakan supaya kehilangan berbilion ringgit wang rakyat akibat skandal mega 1MDB tersebut dapat dikembalikan semula kepada rakyat.

“PDRM serta SPRM wajar menyiasat kes ini dengan segera dan membawa mereka yang terbabit dalam penyelewengan tersebut ke muka pengadilan , ” tambah beliau lagi.