Malaysia Dateline

Polis rampas pistol dan peluru di P Pinang

Sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang telah berjaya menangkap seorang lelaki berusia 35 tahun bersama seorang perempuan berusia 30 tahun di Jalan Fettes pada 3 November 2021.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah, hasil tangkapan tersebut pihak polis telah berjaya merampas sepucuk pistol jenis Beretta Brigadier bersama kelopak berisi 11 butir peluru bersaiz 9mm, sebuah beg silang, 3 buah telefon bimbit, 1 walkie talkie serta sebuah motosikal jenis Honda Wave.

“Hasil siasatan lanjut berdasarkan senjata api yang dirampas, pihak polis percaya kedua-dua tangkapan tersebut mempunyai kaitan dengan kes bunuh seorang individu yang mati ditembak di kawasan Sungai Pinang pada tahun 2019.

“Semakan rekod jenayah terhadap individu pertama mendapati ia mempunyai 14 rekod jenayah lampau dibawah kesalahan Kanun Keseksaan dan 3 rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Merbahaya 1952.

“Manakala semakan rekod jenayah terhadap individu kedua pula didapati mempunyai 1 rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Merbahaya dan kedua-dua mereka akan dituduh di mahkamah dibawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 (kesalahan memiliki senjata api tanpa permit yang sah),” ujar beliau dalam sidang media di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Tambahnya, jika sabit kesalahan maka hukuman penjara seumur hidup dan juga sebatan tidak kurang daripada 6 sebatan dan Seksyen 8(a)Akta Senjata 1960 (kesalahan memiliki peluru hidup tanpa permit yang sah) yang mensabitkan hukuman penjara tidak melebihi 7 tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10, 000 atau kedua-duanya sekali.