Polis rekod keterangan Nooryana Najwa dakwa hadiah perkahwinan dirampas

Polis rekod keterangan Nooryana Najwa dakwa hadiah perkahwinan dirampas

Polis Daerah Dang Wangi merekodkan keterangan Nooryana Najwa atau dikenali sebagai Gina anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan rampasan terhadap barangan di kondominium Pavilion Residences pada 18 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah mengesahkan pihaknya hadir untuk merakamkan keterangan anak Ahli Parlimen Pekan, Pahang itu, lapor Kosmo!

Memetik sumber, polis hadir selepas wanita itu membuat laporan kelmarin mengatakan tidak puas hati dengan tindakan polis memasuki dan merampas barang peribadi yang didakwa hadiah hari perkahwinannya.

“Laporan itu diterima Polis Daerah Sentul malam semalam dan polis Dang Wangi hadir untuk merekodkan keterangan berikutan kawasan kediaman wanita itu terletak di bawah daerah terbabit,” kata sumber tersebut.

Pada 18 Mei lepas, polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis matawang dan barangan berharga di kondominium mewah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Najib, sebagai sebahagian daripada siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).