Filem ‘Mentega Terbang’ yang tersedia di platform atas talian sejak 2021 telah diturunkan selepas mendapati ia bertentangan dengan akidah Islam.
Polis juga dikatakan telah merekod keterangan pengarah dan salah seorang pelakon filem kontroversi, Mentega Terbang, lapor portal Free Malaysia Today (FMT).
Pengarah, Khairi Anwar Jailani dan pelakon Arjun Thanaraju memberi kerjasama sepenuhnya selepas dipanggil ke Bukit Aman pagi ini.
“Kami memberikan kerjasama sepenuhnya dan menjawab semua soalan diajukan polis,” kata Khairi seperti dipetik FMT.
Khairi pada masa sama memaklumkan bagaimana pembikin filem harus diberikan kebebasan untuk menonjolkan kreativiti mereka.
“Tugas kami sebagai pembikin filem adalah untuk mengetengahkan isu semasa, dan kebebasan bersuara kami tidak seharusnya dikawal,” katanya.
Peguam Zaid Malek mewakili Khairi dan Arjun berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan suasana tidak harmoni.
Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.
Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.
‘Mentega Terbang’ yang menyentuh perbezaan dan persamaan agama utama di Malaysia mendapat kritikan orang ramai dan juga artis.
Menteri Hal Ehwal Agama Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menyemak kandungan filem itu dan mendapati ia bertentangan akidah Islam.
Baca juga: Ditahan reman kerana buat laporan polis palsu, penolong pengurus dakwa diri dipukau