Polis Rio bongkar rancangan bunuh ahli politik sayap kiri

Polis Rio bongkar rancangan bunuh ahli politik sayap kiri

Sembilan bulan selepas seorang ahli politik Rio ditembak mati, polis tempatan pada Khamis telah berjaya membongkar satu rancangan untuk membunuh seorang lagi pemimpin sayap kiri yang terkenal.

Ini susulan satu tip yang diterima oleh polis, menunjukkan bahawa wakil rakyat Marcelo Freixo telah menjadi sasaran kumpulan militia yang ditentang beliau sejak bertahun-tahun.

Terdapat ancaman bahawa beliau akan dibunuh dalam satu mesyuarat politik Sabtu depan.

Menurut agensi berita China Xinhua, Freixo telah meminta perlindungan tambahan dan mengkritik keganasan terhadap pihak berkuasa yang dipilih.

“Tidak boleh diterima bahawa pada abad ke-21, mereka mengugut pihak berkuasa dengan cara sedemikian,” katanya sambil menambah bahawa beliau tidak percaya percubaan untuk menamatkan riwayatnya memiliki kaitan dengan pembunuhan anggota majlis bandaraya Marielle Franco.

Franco, yang merupakan anak didik Freixo, telah ditembak mati ketika beliau meninggalkan satu mesyuarat di pusat bandar Rio.

Pemandunya, Anderson Gomes, turut dibunuh.

Jenayah yang tidak dapat diselesaikan itu dipercayai mempunyai hubung kait dengan kerja-kerja politik Franco atau tindakan beliau yang lantang mengkritik salah guna kuasa polis, dan mungkin telah dimulakan oleh kumpulan militia yang mempunyai kaitan dengan mafia yang semakin berleluasa di Rio bagi mendominasi beberapa kawasan di bandaraya itu.

Kesemua kumpulan ini, sering terdiri daripada bekas anggota polis dan bomba, meminta bayaran untuk perlindungan dan kawalan pengagihan gas masakan serta keperluan lain dalam komuniti-komuniti miskin.

— BERNAMA