Malaysia Dateline

Polis rujuk MMC percanggahan laporan bedah siasat Muhammad Adib

Polis akan mendapatkan pandangan daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) berhubung percanggahan laporan oleh dua pakar perubatan terhadap bedah siasat anggota bomba yang terkorban dalam insiden rusuhan, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, nasihat kepakaran daripada MMC itu perlu bagi menilai laporan yang dikeluarkan oleh dua pakar perubatan berkenaan.

“Selain itu, Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Bukit Aman juga akan membuat ‘3D Scanner’ iaitu salah satu proses lakonan semula bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa individu termasuk Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Azmi juga akan dipanggil semula untuk dirakam keterangan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Huzir berkata dua pakar sejarah akan dipanggil membantu pihak polis bagi tujuan rujukan mengenai perhimpunan Parti Komunis Malaya (PKM) dan abu mayat bekas pemimpin PKM Chin Peng.

Katanya bantuan pakar sejarah itu, yang tidak akan didedahkan identiti, diperlukan kerana mereka lebih mengetahui fakta tentang komunis dan kekejaman mereka.

Selain itu, Huzir berkata setakat ini 14 individu telah dipanggil memberi keterangan berhubung perhimpunan PKM di Kajang, Selangor tempoh hari.

Menurutnya, 10 individu pula telah dipanggil berkaitan kes abu mayat Chin Peng, termasuk wartawan dan editor sebuah portal.

— BERNAMA