Polis sah terima laporan berhubung tuduhan fitnah terhadap Speaker N. Sembilan

Polis sah terima laporan berhubung tuduhan fitnah terhadap Speaker N. Sembilan

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim hari ini mengesahkan telah menerima laporan daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Datuk Zulkefly Mohamad Omar berhubung kenyataan fitnah.

Beliau ketika dihubungi Bernama di sini berkata laporan berkenaan telah dibuat semalam oleh Zulkefly di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Semalam, Zulkefly yang juga Naib Pengerusi 2 Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan telah membuat laporan polis berhubung tuduhan fitnah ke atasnya di laman sosial Facebook menggunakan nama ‘PH Hot Coffee’, yang mendakwa beliau sebagai seorang Speaker yang mabuk kuasa, hilang akal dan kaduk naik junjung.

Zulkefly yang dipetik sebagai berkata bahawa, kenyataan itu secara terang-terangan telah menghinanya dan menjatuhkan reputasinya sebagai Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan.– BERNAMA