Malaysia Dateline

Polis sahkan calon BN Pengkalan Chepa tiada rekod dengan MMC

Pihak polis telah mengesahkan Calon BN Pengkalan Chepa Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin tidak mempunyai rekod dengan Malaysia Medical Board (MMC).

Menurut polis bagi status sijil palsu yang dikemukakan masih dalam siasatan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Zaki Harun mengesahkan perkara itu selepas mendapat pengesahan daripada MMC tetapi dari segi kelayakan pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Kementerian Pengajian Tinggi untuk pengesahan.

“Benar atau tidak benar status individu itu kita akan kemukakan kepada pendakwa raya,” katanya dalam sidang media.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, penggunaan gelaran doktor tanpa sijil Doktor Bertauliah dari Malaysia Medical Board (MMC) adalah kesalahan dan boleh diambil tindakan.

“Individu yang tidak melengkapkan pengajiannya dan menyelesaikan latihan amali mengikut yang ditetapkan serta tiada kelulusan dari MMC maka ianya jadi satu kesalahan dan dia tidak boleh gunakan gelaran itu.

“Tindakan individu sebenarnya secara tidak langsung mencemari gelaran doktor di seluruh negara. Kalau tiada kelulusan yang sebenar, jangan perdaya orang ramai dengan menggunakan gelaran itu, jangan tipu orang ramai.”

Beliau berkata, perkara itu juga menyebabkan orang awam menjadi sangsi dengan semua individu yang mendapat gelaran doktor.

Terdahulu, pendedahan sijil palsu oleh calon BN ini telah dibuat salah seorang pengguna Facebook Liyana Marzuki bukan setakat cakap kosong bahkan beliau telah mendapat bukti daripada pihak Universitas Gadjah Mada Indonesia.

Maklumat terkini, menurut Liyana beliau akan ke Kelantan lepas PRU ini, untuk beri semua dokumen yang dia peroleh kepada pegawai penyiasat kes ini.

“Pohon doakan keadilan ditegakkan. Bukan untuk saya. Tapi untuk pengundi Pengkalan Chepa,” katanya.

Sebelum ini, Universitas Gadjah Mada (UGM) telah mengemukakan bukti Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin belum lulus pengajian dalam bidang perubatan kedoktoran dan sijil ijazah yang dimiliki beliau adalah palsu.

Rentetan pendedahan yang dibuat oleh Liyana Marzuki di facebooknya beliau telah mendapat penyataan rasmi daripada Universitas Gadjah Mada Indonesia.

Bagaimanapun Hafiezulniezam menyifatkan ia adalah fitnah ke atasnya kemudian membuat laporan polis.

Baca juga: Mengejutkan, Mahiaddin dan keluarga miliki aset ratusan juta