Malaysia Dateline

Polis sahkan Lokman Adam ditahan

Polis mengesahkan anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam, telah ditahan malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

Media hari ini melaporkan yang Lokman ditahan susulan laporan polis yang dibuatnya berhubung satu video yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Beliau dilaporkan ditahan di rumah di Kajang kira-kira jam 6.45 petang semalam.

Pemimpin Umno itu disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Turut ditahan ialah bekas anggota parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan yang kini merupakan ahli MIC.

Terdahulu Lokman dipanggil ke JSJ Bukit Aman berhubung kes video semburit membabitkan seorang lelaki yang didakwa mirip Azmin Ali.

Pada awal pagi Selasa lalu, beberapa klip video yang memaparkan dua lelaki melakukan hubungan sejenis dihantar kepada wartawan dan penyokong PKR.

Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mendakwa dia merupakan salah seorang individu di atas katil dalam klip video berkenaan.

Sementara Azmin menafikan sebarang penglibatan dalam skandal itu.