Polis sahkan pusat tahfiz sengaja dibakar

Polis sahkan pusat tahfiz sengaja dibakar

Polis Kuala Lumpur mengesahkan Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat Kuala Lumpur terbakar kerana perbuatan khianat.

Ekoran itu, tujuh remaja termasuk seorang kanak-kanak 12 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh dalam sidang media itu berkata, ia bermula apabila sekumpulan remaja bertengkar dengan pelajar tahfiz di situ.

Beliau berkata, bahan pemudah terbakar telah digunakan oleh pihak terbabit untuk membakar pusat itu.

Tujuh remaja berusia 15 hingga 18 tahun itu bersama seorang kanak-kanak berumur 12 tahun itu kini ditangkap.

Mereka disiasat atas perbuatan membunuh di bawah Seksyen 302 Penal Kod dan Seksyen 435 kerana menyebabkan kebakaran.

Dalam kejadian awal pagi 14 September itu, 22 pelajar dan seorang guru terkorban apabila tingkat tiga bangunan sekolah tahfiz itu terbakar.

Siasatan awal bomba mendapati kebanyakan yang mati berada di tepi tingkap bangunan tiga tingkat itu yang dipercayai cuba melarikan diri.

Namun mereka tidak berjaya berbuat demikian kerana tingkap bangunan itu dilengkapi dengan jeriji besi.

Sebelum ini, bomba mengesyaki kebakaran berpunca dari litar pintas namun masing-masing tertanya-tanya bagaimana dua tong gas berada di atas bangunan itu.

CATEGORIES
TAGS