Malaysia Dateline

Polis sahkan tiada bom dalam kereta di sebuah stesen minyak di Pasir Mas

Polis mengesahkan tiada sebarang bom ditemukan dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia di salah sebuah stesen minyak di Pasir Mas seperti laporan yang diterima pihaknya malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Abdullah Mohammad Piah berkata hasil pemeriksaan selama tiga jam oleh Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan mendapati kenderaan tersebut tidak mempunyai bahan letupan.

“Kita menerima panggilan pada pukul 8.30 malam tadi daripada petugas stesen minyak terbabit yang mengatakan terdapat bom di tempat kejadian.

“Dia (petugas) memberitahu seorang pelanggan lelaki yang merupakan pemilik kepada kereta itu datang memberitahu dia terdengar bunyi detikan seakan-akan bom jangka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ketika kejadian itu pekerja stesen minyak terbabit dikejutkan dengan ancaman bom oleh seorang lelaki berusia, 29, tahun yang datang untuk mengisi petrol di stesen minyak berkenaan telah memaklumkan terdengar bunyi bom di bawah tempat duduk keretanya.

Abdullah berkata terkejut dengan dakwaan lelaki terbabit, pekerja stesen minyak itu telah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kita telah menutup stesen minyak itu dan jalan berdekatan untuk pemeriksaan, namun tidak menemui unsur bom seperti didakwa oleh lelaki itu.

— BERNAMA