Polis saman 15 pemandu kenderaan halang lalu lintas kerana Pokemon Go

Polis saman 15 pemandu kenderaan halang lalu lintas kerana Pokemon Go

Polis mengeluarkan 15 saman kepada pengguna jalan raya yang meletak kenderaan sehingga menghalang lalu lintas hanya untuk bermain Pokemon Go di sekitar kawasan Lebuh Acheh dan Lebuh Cannon, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan itu selepas menerima laporan daripada penduduk di situ berhubung kehadiran orang ramai sehingga menganggu ketenteraman mereka.

“Penduduk di kawasan itu mendakwa orang ramai mula berkumpul dan membuat bising di sekitar kawasan perumahan mereka sehingga mencetuskan rasa kurang senang,” katanya hari ini.

Beliau berkata polis yang menjalankan pemeriksaan dari pukul 10 malam hingga 12 tengah malam mendapati pemilik kenderaan sedang leka bermain Pokemon Go dan meletakkan kenderaan mereka sesuka hati sehingga menghalang lalu lintas di kawasan itu.

Mior Faridalatrash berkata tiada sebarang kesalahan untuk orang ramai bermain Pokemon Go tetapi mereka sepatutnya tidak mengganggu ketenteraman orang lain sehingga membuat bising.

Sarama Abdullah, 50-an, yang mewakili penduduk di kawasan itu membuat laporan polis, berkata mereka terpaksa membuat laporan polis selepas tidak tahan lagi dengan sikap pemain Pokemon Go yang menganggu ketenteraman mereka dengan berkumpul di halaman rumah.

“Setiap hari bermula pukul 8 malam hingga 5 pagi mereka akan berkumpul di kawasan rumah kami untuk bermain permainan itu.

“Mereka juga membuat bising dan meletakkan kenderaan sesuka hati termasuk di hadapan pintu masuk halaman rumah,” katanya.

TAGS