Malaysia Dateline

Polis Sarawak terima tiga laporan berkaitan SD disyaki berunsur rasuah

Polis Sarawak menerima tiga laporan berhubung dakwaan perubahan akuan bersumpah (SD) disyaki berunsur rasuah melibatkan ahli parlimen negeri itu ekoran kemelut politik yang melanda negara beberapa hari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata pihaknya menerima laporan daripada tiga pengadu pada pukul 8.00 malam semalam.

Beliau berkata laporan polis itu merujuk kepada ahli parlimen sama yang didakwa mengubah akuan bersumpahnya.

“Bagaimanapun kita masih menjalankan siasatan. Kita juga telah merujuk laporan itu ke Bukit Aman dan tindakan seterusnya akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am Briged Sarawak di sini hari ini.

Aidi turut menasihati orang ramai untuk tidak sewenang-wenangnya menulis dan menyebarkan perkara yang boleh mencetuskan ketegangan ataupun yang boleh dikategorikan sebagai penghinaan dan hasutan di platform media sosial.

“Setakat ini di Sarawak, keadaan masih terkawal dan kita tidak menerima apa-apa laporan mengenai hasutan ataupun perbuatan yang menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.– BERNAMA