Malaysia Dateline

Polis serbu penerbit buku Tommy Thomas, Gerakbudaya

Polis menyerbu syarikat penerbitan GB Gerakbudaya Enterprise dan merampas dua unit komputer dipercayai berkait memoir kontroversi bekas peguam negara Tommy Thomas, ‘My Story: Justice in the Wilderness’ hari ini, lapor The Malaysian Insight.

Pemilik Gerakbudaya Chong Ton Sin memberitahu, dua anggota polis datang ke premis syarikatnya di Petaling Jaya, Selangor pagi tadi.

Chong berkata serbuan dipercayai berkait buku tulisan Thomas yang mencetus kontroversi sehingga 134 laporan polis dibuat terhadap bekas peguam negara itu.

Polis sebelum ini merakam keterangan Chong sebanyak dua kali.

Ketika ditemui wartawan laman itu awal bulan ini, beliau berkata cetakan kedua buku itu sebanyak 5,000 salinan sudah habis dijual, yang mana Thomas membeli 2,000 salinan. Gerakbudaya kini sedia untuk mencetak salinan ketiga tidak lama lagi.