Malaysia Dateline

Polis siasat kes ganja anak Mat Sabu telus, tiada piawaian berbeza

Datuk Seri Mazlan Lazim

Siasatan terhadap anak Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berhubung kes ganja telus dan tiada “double standard”, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Beliau memberi jaminan setelah ada pihak mengkritik tempoh ujian lanjut terlalu lama sehingga mendorong tanggapan demikian, lapor Berita Harian.

“Kita jalankan prosedur yang sama ke atasnya dan kini sedang tunggu hasil ujian lanjut saringan air kencing oleh Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur.

“Tempoh masa itu bukan tertakluk kepada keputusan pihak polis, sebaliknya bergantung kepada jabatan berkenaan,” ujarnya.

Sabtu lalu, Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, dan seorang rakannya ditahan di pusat hiburan sebuah hotel di Jalan Ampang pada jam 12.30 tengah malam.

Namun kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama. Kes disiasat bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.