Polis siasat kes Presiden MIC langgar protokol keselamatan KLIA

Polis siasat kes Presiden MIC langgar protokol keselamatan KLIA

Polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung isu Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A Vigneswaran yang didakwa melanggar peraturan keselamatan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 November lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata satu laporan polis telah dibuat oleh pihak pengurusan lapangan terbang malam tadi dan pihaknya akan menunggu laporan lengkap siasatan berkenaan.

“Sebenarnya saya tidak tidak berhasrat untuk memanjangkan isu ini. Tetapi memandangkan laporan polis telah dibuat, biarlah polis jalankan tugas mereka, saya akan tunggu laporan penuh siasatan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Berkenalan dan Taklimat Agensi-agensi Kerajaan Bersama Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri Temiang dan Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bukit Temiang dan Kampung Bukit Merbah di Seremban hari ini.

Kejadian pada 10.14 malam ketika Presiden MIC itu diminta berhenti oleh pegawai yang ditempatkan di laluan VIP kerana tidak mematuhi kod pakaian.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikeluarkan pihak berkuasa, Vigneswaran tidak berhenti dan meneruskan turun ke bawah di bahagian lobi VIP.

Loke berkata sebagai kerajaan baharu yang mempertahankan pelaksanaan undang-undang, kementerian tidak teragak-agak untuk mempertahankan pegawai kerajaan yang menjalankan tugas mengikut prosedur dan protokol yang benar ketika menjalankan tugas.

Tambahnya beliau dimaklumkan Vigneswaran tidak akan membuat sebarang permohonan maaf, kerana berpendapat beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan itu adalah hak beliau sama ada mahu memohon maaf atau tidak.

“Pada saya kalau kita rasa kita sudah menyakiti hati orang lain dengan perbuatan dan perkataan kita, memohon maaf adalah perkara yang terbaik untuk dilakukan.

“Memohon maaf tidak akan merendahkan martabat seseorang, sebagai seorang yang mempunyai posisi yang dihormati di Dewan Negara, beliau sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada orang lain,” katanya.