Polis siasat Lokman Adam muat naik kenyataan kemalangan lebuh raya

Polis siasat Lokman Adam muat naik kenyataan kemalangan lebuh raya

Satu kertas siasatan dibuka terhadap Datuk Lokman Noor Adam berikutan dakwaannya melalui video yang di muat naik di laman sosial berhubung kes kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran persimpangan Bandar Baru Bangi, dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata Presiden Pemantau Malaysia Baru berusia 46 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kertas siasatan itu dibuka semalam…siasatan lanjut akan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, Lokman melalui video berdurasi tujuh minit yang dipaparkan di YouTube menggesa orang ramai membuat laporan polis susulan penularan gambar seorang lelaki yang dilaporkan maut dalam insiden kemarahan jalan raya pada Sabtu lepas.

Lokman turut mengaitkan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan pegawai penyiasat kes itu berhubung penularan gambar yang dirakam isteri suspek semasa kejadian.

Dalam insiden itu, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, dilaporkan maut selepas dilanggar sebuah kenderaan yang dipandu lelaki lain. Kejadian dikatakan berlaku akibat kemalangan kecil selepas Plaza Tol Sungai Besi dengan kedua-dua kenderaan berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi di mana mangsa dilanggar.

Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes yang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kedua-dua mereka direman tujuh hari sehingga 17 Ogos ini.– BERNAMA