Malaysia Dateline

Polis siasat Snowdan gelar Tay komunis

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Kuching kini sedang menjalankan siasatan terhadap satu laporan yang dibuat terhadap Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan semalam.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata, pihaknya menerima laporan tersebut daripada Ketua Ranting Parti Keadilan Rakyat (PKR) Balai Ringin Tay Wei Wei yang mendakwa Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Balai Ringin yang melabelkannya sebagai komunis.

Tay berkata, dalam laporan tersebut Menteri Muda berkenaan dikatakan mengeluarkan kenyataan secara terbuka baru-baru ini.

Jelasnya menerusi kenyataan hari ini, laporan telah dibuat di Balai Polis Serian dan siasatan laporan ini bakal memanggil pengadu serta saksi untuk memberi keterangan.

Sementara itu, Facebook Keadilan Sarawak semalam memberitahu laporan polis dibuat oleh Tay yang turut diiringi penyokong PKR yang marah dengan kenyataan Snowdan yang disifatkan sebagai fitnah dan tuduhan jahat.

Selain melabelkan Tay sebagai komunis, Snowdan turut didakwa ada mengeluarkan kenyataan bahawa Pusat Gerakan Keadilan Balai Ringin sebagai pusat komunis.

“Kenyataan Snowdan itu berbaur fitnah dan tuduhan jahat, telah mendatangkan kemarahan penyokong PKR, terutama ahli-ahli Keadilan Balai Ringin, tegas beliau.