Malaysia Dateline

Polis siasat Toyota Alphard VIP potong garisan berkembar, pandu melulu dan berbahaya

Selepas tular di media sosial, polis Kelantan mengesahkan menerima satu laporan berhubung kesalahan trafik melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dipercayai milik orang kenamaan (VIP) yang memotong kenderaan di garisan berkembar.

Hasil siasatan pihak polis mendapati kejadian itu berlaku di Jalan Bukit Marak-Binjai berdekatan jambatan sebelum lampu isyarat Chabang 3, Gong Dermin di Kota Bharu baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, menerusi rakaman video berdurasi 38 saat itu, MPV tersebut memotong kenderaan di hadapannya di garisan berkembar secara berbahaya.

“Ketika kejadian, terdapat kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

“Saya mengesahkan Polis Kelantan menerima satu laporan berkaitan perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shuhaimi, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

Sebelum ini, video memaparkan sebuah Toyota Alphard dengan nombor plat P45 memotong kenderaan lain di garisan berkembar mengundang kecaman orang ramai.