Polis-SPRM harus mulakan siasatan terhadap Annuar, desak PPBM

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera memulakan siasatan  selepas  Majlis Amanah Rakyat menggantung jawatan Tan Sri Annuar Musa hari ini.

Polis-SPRM harus mulakan siasatan terhadap Annuar, desak PPBM

Syed Saddiq Syed Abdul RahmanParti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera memulakan siasatan  selepas  Majlis Amanah Rakyat menggantung jawatan Tan Sri Annuar Musa hari ini.

Ketua Armadanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, apabila pengurusan tertinggi Mara menggantung jawatan Annuar sebagai Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB), sewajarnya PDRM dan SPRM lebih awal melakukan siasatan terhadap laporan yang pernah dikemukakan kepada dua agensi terbabit sebelum ini.

“Saya telah membuat laporan polis mengenai isu ini pada 12 Januari 2017, mengenai tindakan Tan Sri Annuar yang menggunakan wang Mara/UniKL untuk menaja pasukan The Red Warriors kerana pertindihan kepentingan.

“Tindakan daripada Mara telahpun diambil menunjukkan siasatan daripada peringkat dalam telah pun bermula lalu memutuskan penggantungan terhadap Tan Sri Annuar bagaimana pula perkembangan terkini daripada pihak SPRM dan PDRM di atas laporan yang telahpun dibuat supaya kes ini disiasat?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Saddiq berkata, dengan keputusan penggantungan jawatan Annuar itu membuktikan laporan yang dibuatnya kepada SPRM dan PDRM bukanlah fitnah seperti digembar-gemburkan beberapa pihak.

“Jangan kerana kecuaian dalam mentadbir skuad TRW (The Red Warrior) yang saya hormati, kita “bail out” pasukan tersebut kerana kegagalan sendiri. Jangan gadaikan masa depan anak Melayu yang tidak berkemampuan kerana kegagalan sendiri.

“Dengan penggantungan Tan Sri Annuar menunjukkan ada betulnya laporan polis saya berkenaan hal ini. Kepada pihak yang mengatakan saya menfitnah, fikir-fikirkan lah semula,” ujarnya.

Beliau mengulas mengenai tindakan serta merta Majlis Amanah Rakyat (Mara) hari ini yang mengantung tugas Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa berkuatkuasa serta-merta.

Dengan itu, semua tugas Annuar di agensi berkenaan kini dipangku Ahli Majlis Mara, Datuk Dr Yusof Yacob.

Syed Saddiq juga mengucapkan taniah kepada Ahli Majlis Mara di atas tindakan yang diambil.

“Ini jelas menunjukkan bahawa pegawai-pegawai Mara tidak mengambil kes ini secara ringan. Mara ditubuhkan dengan tujuan untuk membantu anak-anak Melayu yang tidak bernasib baik.

“Jangan sesekali membenarkan pihak pihak yang tidak bertanggungjawab merosakkan tujuan murni ini daripada tercapai demi kepentingan peribadi pihak pihak tertentu,” ujarnya.