Polis sudah kenalpasti lokasi Jamal di Indonesia

Polis sudah kenalpasti lokasi Jamal di Indonesia

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Datuk Seri Jamal Yunos kini berada di Indonesia dan pihak berkuasa telah mengenal pasti lokasi ketua Umno bahagian Sungai Besar itu.

Beliau berkata polis Malaysia dan Indonesia juga telah mengadakan kerjasama untuk menahan dan membawa pulang Jamal ke tanahair.

“Dia masih di Indonesia di tempat-tempat tertentu, kita tahu.

“Kerjasama dengan pihak Indonesia baik dan mereka telah beri bayangan tindakan susulan untuk menangkap Jamal.

“Kita punya arahan tetap ialah ambil tindakan dengan menangkap beliau dan bawa balik ke Malaysia,” katanya dipetik Malaysiakini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan hari raya di Bukit Aman hari ini.

Ahad lalu Malaysiakini melaporkan, pihak polis masih berusaha menjejaki Jamal yang melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Ketua gerakan Baju Merah itu dikehendaki polis kerana disiasat berhubung sembilan kes yang dikaitkan terhadapnya.

Dia melarikan diri semasa proses ikat jamin dijalankan di Hospital Ampang Puteri pada 25 Mei lalu.

Jamal didakwa di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kes gangguan awam selepas memimpin bantahan pada Oktober 2017 dengan memecahkan beberapa botol minuman keras di luar bangunan sekretariat kerajaan negeri Selangor.

Dia juga disiasat bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata api semasa dalam keadaan mabuk atau tidak senonoh.

Mahkamah Majistret Shah Alam mengeluarkan waran tangkap ke atas Jamal pada 8 Jun.

COMMENTS

Wordpress (0)