Malaysia Dateline

Polis tahan 43 suspek curi semasa banjir

Seramai 43 suspek dengan tiga daripadanya wanita ditahan berhubung kejadian kecurian dalam kawasan bencana banjir di Selangor sejak 17 Disember hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, memaklumkan penahanan itu susulan 13 kertas siasatan dibuka berhubung kejadian kecurian.

Menurutnya, polis setakat ini tidak menerima laporan berkaitan kejadian kecurian dalam kawasan banjir di negeri lain.

“Sepanjang tempoh itu, sebanyak empat kes siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (mencuri motosikal).

“Sembilan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menceroboh pasar raya atau kedai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sebelum ini, tular gambar didakwa sejumlah individu memecah masuk premis perniagaan sekitar Shah Alam dan mengambil barangan semasa banjir.

Kejadian itu turut berlaku di masuk cawangan MYDIN Mart di Sri Muda, Shah Alam seperti yang tular di media sosial.

Walau bagaimanapun, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin kemudiannya dilapor menghalalkan segala barangan yang diambil jika niat mereka terbabit untuk meneruskan kelangsungan hidup dan terdesak akibat lewat menerima bantuan.

Mengulas lanjut, Abdul Jalil berkata, kesemua kes terbabit masih dalam siasatan dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa menjaga keselamatan diri dan harta benda di samping mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan serta ketenteraman awam,” tegasnya.