Malaysia Dateline

Polis tahan empat individu pukul pengawal peribadi kerana berpuasa

Polis berjaya menahan empat individu yang didakwa terlibat dengan kes memukul dua pengawal peribadinya kerana enggan mendengar arahan untuk tidak berpuasa.

Menerusi kenyataan Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 10 malam ketika mangsa berada di One KL Condominium Jalan Pinang Kuala Lumpur.

Menurutnya, majikan mangsa yang merupakan pemilik sebuah syarikat bertindak memukul dua pengawal peribadinya itu menggunakan rotan selain mengacukan pistol selepas mendapat tahu kedua-dua mangsa sedang berpuasa.

“Suspek merupakan majikan mangsa bertanya kepada mangsa dan rakannya sama ada berpuasa atau tidak. Setelah mangsa memberitahu mereka berpuasa, suspek memarahi dan menampar kepala mangsa.

“Mangsa kemudian mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam Klang Selangor dan apabila sampai di rumah suspek, kedua mereka dipukul dengan menggunakan sebatang rotan

“Punca kejadian disebabkan suspek tidak suka mangsa dan rakannya berpuasa pada bulan Ramadan ini dan memaksa mereka supaya tidak berpuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, majikan lelaki tersebut juga telah mengambil sepucuk pistol yang berada di pinggang salah seorang daripada dua lelaki tersebut, dan mengacukan ke arahnya dan mengeluarkan ugutan yang menghina agama.

Sementara itu, kedua-dua mangsa yang merupakan warga tempatan mengalami lebam di belakang badan dan mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Beliau berkata, suspek berumur 43 tahun diberkas dan akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 298 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek akan direman di Mahkamah Klang hari ini.