Polis tahan tiga kanak-kanak, disyaki rogol rakan sekampung usia 12 tahun di kebun

Oleh MALAYSIADATELINE

Siapa sangka, tiga kanak-kanak lelaki yang baru berumur 12 hingga 14 tahun sudah berani melakukan jenayah berat dengan merogol rakan sekampung mereka.

Bukan cerita rekaan mahupun drama televisyen, namun itulah kejadian sebenar yang berlaku di sebuah kebun dalam sebuah kampung di daerah Tawau pada Khamis lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh, laporan polis mengenai kejadian itu diterima daripada ibu mangsa pada 4.56 petang Jumaat.

Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kemudian digerakkan dan berjaya menahan kesemua suspek terlibat pada pukul 5.40 petang hari yang sama.

Champin memaklumkan, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada Khamis, pukul 9 malam di sebuah kebun berhampiran sebuah kampung, lapor Astro Awani.

“Dua suspek merupakan pemegang sijil lahir manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan kesemua mereka tidak bersekolah.

“Mangsa kanak kanak perempuan berumur 12 tahun juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan merupakan kenalan serta tinggal sekampung dengan semua suspek,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Difahamkan, kesemua suspek kini ditahan reman selama lima hari sehingga 2 Oktober depan untuk membantu siasatan selepas pihak polis mendapatkan perintah tahanan di Mahkamah Majistret Tawau pada Sabtu lalu.

Jelas Campin, kes disiasat di bawah Seksyen 375b Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Baca juga: Tular ‘dashcam’ lelaki dilanggar ketika melintas dekat lebuh raya