Polis tahan tujuh suspek terlibat gaduh, tikam di Tawau

Polis tahan tujuh suspek terlibat gaduh, tikam di Tawau

Polis dapat mengesan dan menahan tujuh suspek dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan di bandar Tawau pada Ahad lepas, dalam Ops Cantas Khas.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata setakat ini tujuh suspek termasuk suspek utama yang menikam mangsa ditangkap dalam enam serbuan berbeza dan kesemua suspek kini ditahan reman.

Katanya, suspek yang ditangkap berusia antara 21 sehingga 39 tahun dan empat daripadanya warga tempatan, manakala tiga lagi warga asing.

“Enam daripada suspek yang ditangkap didapati positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau termasuk kes dadah, jenayah keganasan/hartabenda dan kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Namun, terdapat tiga suspek masih bebas dan sedang diburu polis dengan dua daripadanya dikenali sebagai Apeng dan Ucop.

Pada 2 Dis lepas, pada pukul 1.30 pagi berlaku satu pergaduhan yang mengakibatkan kecederaan parah terhadap Dylan Junior Reyes, 23, selepas ditikam di perut selain dipukul di kawasan lorong Jalan Merdeka 3 dan hadapan bank CIMB cawangan Fajar di sini.

Menurut Fadil, mangsa turut ditahan polis ekoran positif dadah dan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung motif kejadian.

— BERNAMA