Malaysia Dateline

Polis tak jaga solat: KPN anggap dakwaan Asri Janggut melampau

Ketua Polis Negara menyifatkan dakwaan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid bahawa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menjaga solat sebagai melampau.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata isu tersebut tidak wajar dibangkitkan dalam khalayak ramai.

“Ini (solat) soal kita dengan Tuhan dan PDRM tidak pernah ketepikan … didikan moral dan agama sentiasa disemarakkan dalam pasukan.

“Orang kena tahu yang PDRM juga ada hafiz dan setiap Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negara mempunyai surau,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Mohd Asri, 42, yang dikenali sebagai Asri Janggut dalam satu sidang media mendakwa kebanyakan yang menyertai polis dan tentera tidak menjaga sembahyang.

“Hisap rokok, tak jaga sembahyang. Cuba tanya anggota polis, subuh sembahyang tak? Bila last (kali terakhir) bawa isteri sembahyang subuh?

“Pernah tak tanya anak apa itu syahadah? Bermakna sebenarnya segala kuncinya,” itu antara yang disebutkan Asri Janggut dalam satu klip video berdurasi 31 saat yang kemudiannya tular dan mengundang kecaman orang ramai.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, PDRM telah menyediakan prasarana dan sentiasa memberi ruang untuk setiap pegawai dan anggota melaksanakan kewajipan masing-masing.

“Saya tidak boleh paksa semua orang sembahyang . Itu antara diri masing-masing dengan Tuhan,” katanya.

Menurut Abdul, setiap calon konstabel dan pegawai bagi pengambilan baharu juga diwajibkan menjalani ujian agama.

“Ini telah lama dilakukan dan ujian kefahaman asas agama kepada calon agama Islam ini membolehkan PDRM nilai siapa yang layak untuk menjadi anggota polis.

“Dalam Rukun Negara juga jelas mengatakan yang asasnya adalah kepercayaan kepada Tuhan. Pucuk pimpinan tidak mahu orang berisiko diberi kuasa,” katanya.