Malaysia Dateline

Polis, tentera laksana sekatan jalan raya di KL, Selangor, Putrajaya

Polis akan menguat kuasa sekatan jalan raya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata sekatan jalan raya akan diadakan di beberapa tempat di tiga negeri itu, mulai tengah malam ini.

“Sekatan jalan raya akan dilaksanakan sama seperti yang pernah dibuat sebelum ini (Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal Mac lalu).

“Arahan penugasan anggota polis di lokasi akan diatur oleh Ketua Polis Kuala Lumpur dan Ketua Polis Selangor,” katanya.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata ATM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan sekatan jalan raya seperti sebelum ini.

“ATM dan PDRM akan buat seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam nanti hingga 27 Oktober ini.

Keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19 seperti di daerah Klang, Petaling serta Gombak.