Malaysia Dateline

Polis terima 3 aduan kekecohan di Wisma Tok Guru

Polis Kelantan menerima tiga laporan polis berkaitan kekecohan yang berlaku antara penyokong Pas dan Parti Amanah Negara (AMANAH) di Wisma Tok Guru di Salor, Ahad lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata dua laporan dibuat oleh penyokong AMANAH manakala satu laporan lagi oleh penyokong Pas.

“Kekecohan kecil itu berlaku apabila sekumpulan penyokong Pas dikatakan datang ke premis itu (Wisma Tok Guru) untuk memasang bendera parti mereka kerana mendakwa premis itu sudah menjadi milik Pas.

“Bagaimanapun, kedatangan mereka menyebabkan sedikit kekecohan kerana penyokong AMANAH berada di premis tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Hasanuddin berkata tindakan cepat pihak polis berjaya mengawal insiden berkenaan dan polis akan terus memantau isu tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Dalam kejadian pukul 9 malam itu, kira-kira 150 penyokong Pas datang ke Wisma Tok Guru untuk memasang beberapa bendera Pas di pagar premis itu kerana mendakwa bangunan itu sudah menjadi milik parti tersebut.

Premis terbabit sebelum ini menjadi pejabat AMANAH tetapi berlaku perebutan selepas Pas mendakwa sudah membeli tanah tersebut daripada seorang individu yang merupakan pemilik tanah berkenaan dan AMANAH diberi tempoh sebulan sehingga 16 November ini untuk mengosongkan premis itu.

Dalam perkembangan lain, Hasanuddin berkata mulai tahun depan, semua pegawai dan anggota polis di negeri itu dikehendaki mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) tidak lebih daripada yang ditetapkan iaitu 28.

Katanya kesemua pegawai dan anggota akan menjalani Ujian Penilaian Keperluan Keupayaan Fizikal (PARE Test) bagi mengukur tahap kecergasan atau ‘Fitness Level’ yang mana ia menentukan implikasi kepada masa depan kerjaya seseorang warga beruniform.

Tujuannya adalah untuk memastikan anggota polis mempunyai tahap kesihatan yang baik dan bukannya untuk menyeksa atau menafikan hak sesiapa kerana selain mempunyai tubuh badan yang langsing, mereka wajar mempunyai tahap kecergasan yang baik bagi melaksanakan tanggungjawab harian,” katanya.

Beliau berkata mereka yang berjaya memiliki berat badan ideal boleh dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.