Polis terima 55 laporan ekoran ribut di Perlis

Polis terima 55 laporan ekoran ribut di Perlis

Polis menerima 55 laporan mengenai kerosakan akibat ribut yang melanda negeri ini malam tadi, kata Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamad.

Beliau berkata berdasarkan laporan diterima setakat 4 pagi tadi, daerah Kangar paling tinggi dengan mencatat 41 laporan, Arau (empat) dan Padang Besar (10).

“Jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM134,100, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hujan lebat disusuli angin kencang malam tadi, membadai beberapa negeri di utara Semenanjung melibatkan Pulau Pinang, Perlis dan Kedah, mengakibatkan banyak kejadian pokok tumbang, bekalan elektrik terputus, selain rumah dan kemudahan awam rosak.

Anggota Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad dalam kenyataan di laman Facebook beliau, pula meminta penduduk yang terjejas supaya membuat laporan polis dan menyerahkan salinan bagi mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga sedang mengenal pasti jumlah mangsa dan bantuan bakal diberikan kepada mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor ketika dihubungi Bernama berkata bantuan akan disalurkan segera memandangkan umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha, esok.

Sementara itu, sebuah pusat pemindahan dibuka sejak semalam, menempatkan sebuah keluarga di Dewan Orang Ramai Kampung Pokok Sena, Chuping di sini.

Pengarah JKM Perlis Mohammad Hazam Ismail berkata pusat pemindahan itu menempatkan enam mangsa selepas rumah mereka mengalami kerosakan berikutan kejadian ribut itu.