Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah sebaik sahaja tiba di negeri itu, pagi tadi.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di laman Facebook, sebentar tadi.
Dalam yang hantaran sama, Dr Akmal turut memberitahu bahawa dirinya sepatutnya menghadirkan diri ke IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, esok bagi memberi keterangan.
Satu rakaman yang memaparkan dirinya ketika diiringi polis dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu itu turut dikongsi ahli politik terbabit di platform sama.
“Saya telah ditahan di IPD Kota Kinabalu, pagi ini walaupun telah dijadualkan untuk memberi keterangan esok di IPD Dang Wangi. Insya-Allah, saya akan berikan kerjasama sepenuhnya.
“Doakan semuanya dipermudahkan. Tidak akan berganjak walaupun seinci dengan pendirian kita,” mohon Dr Akmal kepada para pengikut akaun Facebook miliknya.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya menerima dua laporan berhubung ucapan Akmal Saleh mengenai penjualan stoking kalimah ‘Allah’.
Menurut Tan Sri Razarudin Husain selaku Ketua Polis Negara, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Kertas siasatan berhubung ucapan Dr Akmal yang didakwa berbaur hasutan itu akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara sebaik sahaja ia dilengkapkan, lapor Kosmo.
Mengulas lanjut, Razarudin turut menasihatkan orang ramai agar tidak lagi mencuba membangkitkan isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah pada masa akan datang.
“Ia memandangkan mereka (pihak pengurusan kedai serbaneka) yang terlibat telah dituduh dan proses keadilan akan ditentukan mahkamah,” katanya memetik laporan Kosmo.
Sebelum ini, Akmal begitu lantang mengulas kontroversi stoking kalimah ‘Allah’ yang dijual di kedai serbaneka KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd atau KK Super Mart.
Beliau juga memberi amaran bahawa Pemuda UMNO akan mulakan gerakan boikot jika KK Mart tidak memasang kain rentang di semua cawangan bagi memohon maaf.
Kontroversi ini juga menyaksikan sekurangnya tiga serangan bom petrol dilakukan di tiga premis kedai serbaneka berkenaan di negeri Perak, Pahang dan juga Sarawak.
Baca juga: Kenapa kubur orang Cina mesti dekat kawasan berbukit? Rupanya bersebab, bukan main letak sahaja