Malaysia Dateline

Polis terima laporan pengasas kosmetik Kelantan persenda Islam, tidak suka solat

Polis menerima laporan berhubung seorang wanita dipercayai berasal dari Kelantan yang mengaku dirinya tidak suka solat dan tidak tahu mengambil wuduk.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata laporan diterima ibu pejabat polis daerah ini pada jam 10.25 pagi tadi.

“Pengadu mendakwa melihat satu rakaman video dikongsi dalam WhatsApp malam tadi, memaparkan wanita Melayu lingkungan 30-an menyatakan dia tidak suka sembahyang dan semua orang tidak solat pada 2021.

“Tindakan itu boleh dianggap mempersendakan dan mempermainkan agama serta boleh menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat,” lapor BH.

Sejak malam tadi, tular beberapa klip video mengenai seorang wanita bercakap dalam loghat Kelantan yang mengingatkan agar orang lain tidak menyuruhnya sembahyang.

Dia yang dipercayai pengasas produk kosmetik turut mempersenda bacaan Yasin apabila berkata, tidak perlu tunggu malam Nisfu Syaaban untuk membaca surah itu.

Abdul Rahim berkata, semakan awal sudah dibuat terhadap video itu dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (KK) dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.