Polis terus jejaki Jho Low

Polis terus jejaki Jho Low

Polis sentiasa meneruskan usaha untuk menjejaki ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low bagi membantu siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sedang berkerjasama bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, Jho Low kali terakhir dikesan di Hong Kong dan Macau.

Untuk rekod, individu yang berada dalam senarai notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) tersebut dilapor akhbar South China Morning Post (SCMP) pada Jun 2018 menetap di apartmen Pacific Place di Admiralty, Hong Kong.

“Kita sedang bekerjasama dengan pihak berkenaan untuk penuhi tuntutan seperti digariskan Polis Antarabangsa (Interpol).

“Kita harap pihak tersebut akur dengan perjanjian untuk sama-sama tangani dan saling membantu untuk kesan, tangkap dan usir penjenayah agar kembali ke negara asal,” dipetik dari Utusan Online.

Abdul Hamid berkata demikian selepas majlis perasmian Seminar Hentikan Keganasan Kanak-Kanak di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Pada 3 April lalu, Jho Low yang kini menjadi pelarian membidas tindakan kerajaan Malaysia menjual kapal layar mewah yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, Equanimity pada harga yang didakwanya rendah.

Equanimity dijual kepada Genting Malaysia Bhd, atau syarikat ‘special purpose vehicle’ (SPV) milik Genting, pada harga AS$126 juta (RM514 juta).

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, penjualan kapal itu dibuat selepas Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur memberi kelulusan untuk menerima tawaran membeli Equanimity daripada Genting atas Terma-terma dan Syarat-syarat Syerif.

Menurut Jho Low, kualiti Equanimity yang dirampas di perairan Indonesia pada Ogos 2018 lalu sebelum diletakkan di Pelabuhan Klang, mampu dipertahankan untuk mengelakkan daripada dijual secara terdesak.

Jelas suspek utama dalam skandal 1MDB itu, penyusutan harga Equanimity disebabkan oleh kos penyelenggaraan kapal menelan belanja RM14.3 juta.

Ekoran kenyataan Jho Low itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir mencabarnya untuk kembali ke Malaysia dan memberikan kenyataan tentang Equanimity di mahkamah.

Jho Low pada 17 Oktober 2018 memberitahu bahawa dia tidak akan menyerahkan diri kepada pihak berkuasa di Malaysia kerana dibimbangi tidak dibicarakan secara adil.