Polis Thailand rampas 6,000 pil kuda, tahan 6 rakyat Malaysia termasuk artis wanita di Golok

Oleh MALAYSIADATELINE

Polis Thailand dilaporkan menahan enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis wanita selepas pihak berkuasa itu melakukan serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, semalam.

Difahamkan, penahanan penyanyi berusia 20-an terbabit bersama lima individu lain dilakukan untuk membantu siasatan berhubung rampasan 6,000 biji dadah dipercayai pil kuda.

Kesemua individu berusia 25 hingga 32 tahun termasuk tiga orang wanita yang berasal dari Kelantan itu ditahan di dalam sebuah bilik sekitar pukul 6 pagi (waktu Malaysia), lapor Berita Harian.

Menurut sumber, polis Thailand turut merampas 6,000 biji pil kuda ketika penahanan itu dilakukan dan dua daripada mereka difahamkan masuk ke negara jiran tersebut menggunakan pengkalan haram.

Manakala baki individu lain pula masuk ke negara Gajah Putih berkenaan menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Mereka dikatakan ke hotel berkenaan bertujuan untuk berhibur bersempena cuti Deepavali dan baharu sahaja masuk ke bilik selepas selesai berseronok ketika serbuan itu dilakukan.

“Dua lagi lelaki yang identiti mereka tidak dikenali dan turut berada dalam bilik berkenaan, berjaya melepaskan diri. Wanita yang ditahan itu adalah artis tempatan Kelantan,” kata sumber memetik laporan Berita Harian.

Sumber turut mengesahkan bahawa mereka semua akan dibawa ke Mahkamah Narathiwat untuk direman manakala polis Kelantan dikatakan sudah dimaklumkan berhubung penahanan berkenaan.

Terdahulu, khabar berhubung penangkapan penyanyi yang popular di Kelantan dengan lagu-lagu daerah negeri tersebut tular menerusi aplikasi perbualan di atas talian iaitu WhatsApp.

Baca juga: FashionValet: Kerugian libatkan dana dan kepentingan awam, SPRM mulakan siasatan