Polis tidak tolak kemungkinan panggil Salahuddin Ayub beri keterangan

Polis tidak tolak kemungkinan panggil Salahuddin Ayub beri keterangan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk memberi keterangan berhubung penularan rakaman video baru-baru ini yang dikatakan berbaur hasutan dan perkauman.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan memanggil menteri tersebut untuk menjalani proses soal siasat.

“Perkara ini masih lagi dalam siasatan. Kita tengok keadaan nanti (rakam keterangan Salahuddin). Kalau kita perlu, kita akan lakukan.

“Kita tengok petang ini nanti. Setakat ini masih dalam siasatan lagi dan belum ada sebarang tangkapan dibuat.

“Kita cuba mempercepatkan siasatan dan pihak Jabatan Siasatan Jenayah juga ada menubuhkan satu pasukan.

“Mana-mana yang terlibat di bawah laporan kita dan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 akan dikendalikan siasatan,” katanya seperti dipetik portal berita Malaysia Gazette.

Mustafa berkata demikian dalam sidang media kempen PRK Tanjung Piai, di Tanjung Piai, hari ini.

Dalam pada itu, Mustafa berkata, kes Salahuddin disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 2002 dan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan denda RM50,00 atau penjara selama tempoh setahun atau kedua-duanya sekali.

Baru-baru ini, satu rakaman video melibatkan ucapan Salahuddin yang dikatakan berunsur perkauman dan menghasut telah tular di media sosial.

Video itu menunjukkan Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menghadiri satu perjumpaan tertutup di Sekolah Jenis Kebangsaan Pei Chio Kukup Laut, Pontian.