Tular satu video didakwa seorang polis trafik meminta RM100 daripada sepasang pelancong mat saleh ketika menahan kenderaan tersebut atas kesalahan memandu melebihi had laju.
“Bayar sini RM100, bayar di balai RM300.”
Itu ungkapan anggota polis berkenaan ketika menawarkan diskaun saman trafik kepada pasangan warga asing itu.
Anggota terbabit mendakwa pasangan berkenaan memandu selaju 80 kilometer sejam (km/j), melebihi had laju di laluan itu iaitu 60 km/j, lalu mengeluarkan saman.
Bagaimanapun, anggota terbabit menawarkan diskaun saman daripada RM300 menjadi RM100 jika dibayar terus kepadanya.
Di akhir video tersebut, pelancong itu membahaskan sesama sendiri soal adakah benar mereka memandu melebihi had laju.
Namun isu paling besar yang menjadi perbincangan pengguna media sosial adalah percubaan polis trafik itu untuk mendapatkan ‘duit tepi’ dari pelancong itu.
Berikutan itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung video tersebut.
“Jam 4.30 petang, JSPT mengesan video tular di platform YouTube dan lain-lain media sosial mengenai tindakan anggota trafik menyaman dan menawarkan diskaun ke atas pasangan dari United Kingdom (UK) yang sedang melakukan edisi jelajah Malaysia itu.
“Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan itu dan tidak akan bertoleransi ke atas anggota dan pegawai terbabit,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Kejadian itu tular selepas video memaparkan tindakan anggota polis terbabit dimuat naik menerusi halaman YouTube pasangan berkenaan sejak kelmarin sebelum dikongsi beberapa pengguna media sosial.
Menerusi klip video itu, pasangan berkenaan keliru dengan tindakan anggota terbabit namun memilih untuk menerima tawaran diskaun berbanding membuat pembayaran di balai.
Baca juga: Rangup di luar dan ‘fluffy’ di dalam, ini resipi telur dadar ala Thai anda patut cuba!