Malaysia Dateline

Polis tubuh task force pantau salahguna media sosial sebar fitnah, perkauman

Kementerian Dalam Negeri akan mengambil tindakan tegas dengan menbuhkan sebuah taske force untuk melakukan pemantauan,  tangkapan dan pendakwaan terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan fitnah dan mengapi-apikan sentimen perkauman.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin (PH-Pagoh) berkata, tindakan penguatkuasaan sedemikian dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan mahupun Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihak polis juga akan terus melakukan pemantauan ke atas penyebaran maklumat yang disiarkan di media-media sosial.

“Laporan dan tindakan segera akan diambil sekiranya terdapat kes-kes yang melibatkan sensitiviti kaum dan agama.

“Ini kerana, isu-isu sensitif tersebut jika tidak dibendung boleh menjejaskan ketenteraman dan keharmonian yang dinikmati rakyat selama ini,” ujarnya.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang mengajukan pertanyaan sama ada Kerajaan akan mengambil tindakan kepada penguna sosial media yang mengunakan media untuk menyebarkan fitnah dan mengapi-apikan sentimen perkauman.

Kata Muhyiddin lagi, bagi menangani penyalahgunaan media sosial ini, pihak polis telah menubuhkan Taskforce yang akan menjalinkan kerjasama yang erat dengan pihak-pihak seperti bank, syarikat telekomunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, juga agensi-agensi berkaitan dari luar negara termasuk pengendali platform atas talian/media sosial seperti Google dan Facebook.

Kerjasama ini katanya lagi, akan membolehkan pihak polis meningkatkan lagi keberkesanan pemantauan dan siasatan terhadap penyalahgunaan media sosial termasuk mengenalpasti pelaku-pelaku yang terbabit untuk didakwa di mahkamah.