Malaysia Dateline

Polis tumpas kumpulan curi barangan dalam kenderaan di Kluang

Polis menumpaskan satu kumpulan memecah kenderaan dan mencuri barangan di dalamnya, sekali gus menyelesaikan tujuh kes sejak Oktober lalu di daerah ini selepas menangkap empat anggota geng itu di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata kesemua suspek berusia 18 hingga 30-an termasuk seorang perempuan ditahan dalam dua operasi berasingan, masing-masing pada 4.50 petang dan 8.10 malam.

Tangkapan pertama dilakukan di kawasan letak kereta bersebelahan kolam renang Taman Kluang Barat melibatkan dua lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya susulan tangkapan itu, polis memberkas dua lagi anggota kumpulan iaitu seorang lelaki berusia 23 tahun dan remaja perempuan berusia 18 tahun di sebuah kedai alat telekomunikasi pada 8.10 malam hari sama.

Menurutnya daripada tangkapan itu, polis merampas pelbagai barangan berharga dipercayai hasil kegiatan jenayah mereka, sebuah kereta jenis Nissan Almera dan pelbagai peralatan yang digunakan untuk memecah kenderaan dengan nilai keseluruhan rampasan sekitar RM30,000.

Mohd Abduh berkata siasatan awal mendapati kumpulan ini terbabit menjalankan kegiatan mereka khususnya di kawasan rekreasi di daerah ini seperti Gunung Lambak, Tasik Putih dan kolam renang Taman Kluang Barat.

Semakan awal mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, katanya.

Katanya kesemua suspek negatif dadah dan mereka kini direman sehingga 23 Nov ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

–BERNAMA