Polis tunggu laporan rasmi sahkan pengebom berani mati rakyat Malaysia

Polis tunggu laporan rasmi sahkan pengebom berani mati rakyat Malaysia

Polis masih menunggu laporan rasmi pengesahan identiti dua pengebom berani mati dalam kejadian di Iraq dan Syria baru-baru ini yang didakwa rakyat Malaysia.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya khuatir jika ada pihak yang menggunakan identiti rakyat Malaysia untuk melakukan perkara berkenaan.

“…45 peratus dipercayai berkemungkinan rakyat kita terlibat (kejadian pengeboman itu) tetapi saya ingin menunggu laporan yang sah dahulu.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) mempunyai cara tersendiri untuk mengenal pasti identiti mereka (pengebom berani mati), kemudiannya baru kami akan membuat ulasan jika dapat pengesahan rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan semua jabatan peringkat Bukit Aman di perkarangan Kompleks 3, Cawangan Khas, di sini, hari ini.

Khalid berkata sebelum ini memang ada rakyat Malaysia yang terlibat sebagai pengebom berani mati, dan telah terkorban dengan tindakan mereka sendiri.

Menurut laporan berita semalam, dua rakyat Malaysia meletupkan diri mereka sendiri, menyebabkan lebih 30 orang di Syria dan Iraq maut dalam kejadian minggu lepas.

Mohd Amirul Ahmad Rahim, 26, yang berasal dari Terengganu, meletupkan bom yang berada padanya dalam sebuah kereta semasa pertempuran di kubu kumpulan pengganas IS di Raqqa, Syria, pada 29 Dis, menurut laporan itu.

Mohamad Syazwan Mohd Salim, 31, yang melaksanakan misi pada malam 3 Jan, ialah seorang daripada tujuh pengebom berani mati yang menyusup ke pusat latihan polis di pangkalan tentera Speicher, kira-kira 160km ke utara Baghdad, Iraq.

TAGS