Malaysia Dateline

Polisi baharu dirangka atasi isu nelayan warga asing

Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, hari ini memaklumkan pihaknya akan membuat polisi baharu bagi mencari jalan terbaik mengatasi isu pencerobohan nelayan warga asing ke perairan negara.

Beliau berkata, dalam polisi baharu tersebut, pihaknya akan membincangkan secara keseluruhan mengenai penggunaan lesen, penggunaan pukat dan juga peralatan-peralatan yang digunakan nelayan.

“Polisi yang dijangkan mengambil masa tiga bulan itu, bertujuan untuk meningkatkan sumber dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggar Akta Perikanan 1985, selain menguatkuasakan Rang Undang-Undang (RUU) yang baru diluluskan pada Selasa minggu lalu.

“Selain itu dalam isu ini, operasi naga akan diteruskan bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan asing dan juga tidak ada vesel tempatan yang akan menceroboh ke kawasan zon yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ketua wakil nelayan Pantai Timur Bahiyuddin Awang (dua dari kiri) menyerahkan memorandum kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub di bangunan sementara Parlimen hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pulai itu, turut meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama warga nelayan di bangunan sementara Parlimen bagi mendengar luahan hati mereka.

Dalam perbualan bersama wakil nelayan tersebut, Salahuddin menjelaskan, penyelesaian isu berkenaan bukan mudah, malah tindakan penguatkuasaan juga perlu dilakukan kepada nelayan tempatan.

“Selagi saya berada di sini, saya janji akan cuba sebaik mungkin (membantu nelayan) bersama empat kementerian (MOA, Kementerian Pertahanan (Mindef), Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN)

“Mana-mana lesen atau pukat tidak munasabah saya akan rampas dan batalkan.

“Yang nelayan tempatan pun sama, mana-mana pencerobohan ke zon lain (tidak ikut lesen) jika ditahan memang tidak ada maaf lagi,” katanya.