Polisi ekonomi Najib jauh beza berbanding ayahnya, kata Pemuda Amanah

Polisi ekonomi Najib jauh beza berbanding ayahnya, kata Pemuda Amanah

Ketika kempen sempena memperingati ulang tahun ke-40 pemergian Tun Abdul Razak dilihat rancak di TV dan akhbar, pencapaian tokoh digelar Bapa Pembangunan itu daripada segi dasar ekonomi dilihat jauh berbeza berbanding pentadbiran anaknya, Datuk Seri Najib yang mula menjadi Perdana Menteri sejak 2009 lalu.

Mohd Ammar AtanTimbalan Exco Pembangunan Kepimpinan Pemuda Amanah Nasional, Mohd Ammar Atan berkata, polisi pentadbiran Tun Razak yang bersifat merakyat dan bertujuan merapatkan jurang sosio-ekonomi dalam masyarakat majmuk di negara ini akan sentiasa dihargai rakyat termasuk generasi muda hari ini.

“Jasa baktinya sebagai arkitek kemajuan negara dengan tumpuan besarnya melalui pelaksanaan pendidikan kebangsaan dan pengagihan ekonomi secara lebih menyeluruh dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar sentiasa dikenang.

“Gagasan besar arwah Tun Razak melalui DEB (Dasar Ekonomi Baru) bermula tahun 1970 bermatlamat untuk memulihkan ekonomi orang Melayu pada masa sama membolehkan kaum bukan Melayu meraih manfaat bersama.

“Sayangnya, kontradik dengan Najib, polisi ekonomi Presiden Umno itu lebih memihak kepada kepentingan korporat, kroni dan survival parti Umno-BN. Tun Razak seorang negarawan tetapi maaf, ciri itu tiada pada Najib. Itu bezanya,” ujarnya ketika diwawancara Malaysia Dateline di Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurut Ammar yang juga mahasiswa di Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya (UM), implementasi DEB atas kesedaran mengenai keperluan dan kemanusiaan sesuai dengan kedudukan kritikal dan kesenjangan ekonomi rakyat ketika itu.

Berbeza dengan pendekatan ekonomi di bawah kepimpinan Najib, katanya, beberapa isu asas berkaitan survival ekonomi rakyat seperti trend kenaikan mendadak harga barang dan kos sara hidup gagal ditangani sepanjang enam tahun pentadbirannya.

“Lihat saja pada polisi ekonomi Najib melalui Model Ekonomi Baru (MEB) yang tidak menyentuh secara langsung perkara asas berkaitan kepentingan rakyat termasuklah soal kelangsungan ekonomi Melayu Islam tiada diberi penekanan.

“Dalam projek rumah PR1MA di bawah MEB contohnya, harga rumah yang ditawarkan di luar kemampuan majoriti rakyat bahkan PR1MA diswastakan pula.

“Akhirnya terpaksa bersaing dengan pihak swasta lain. Polisi berkaitan rumah mampu milik ada lompang kelemahannya sehingga menjadi ruang untuk meraih keuntungan berlipat ganda sekaligus menyanggahi matlamat asal kewujudannya,” jelasnya.

TAGS