Polisi negara mesti tegas, tidak kompromi rejim Zionis Israel

Polisi negara mesti tegas, tidak kompromi rejim Zionis Israel

Timbalan presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata, kerajaan tidak harus menjalin sebarang hubungan dengan rejim Zionis Israel yang sekian lama melakukan jenayah keganasan terhadap rakyat Palestin.

Menurutnya, isu kemasukan delegasi diplomat kanan Israel ke Malaysia untuk menyertai Forum Bandar Sedunia (WUF) baru-baru ini menyentuh sensitiviti umat Islam yang mengingatkan kembali pada kehadiran pasukan kriket negara haram itu pada tahun 1997.

“Saya dan YB Datuk Mahfuz (ahli parlimen Pokok Sena) dan pak cik Amjal (pemilik Restoran Pak Amjal dekat pintu gerbang Universiti Malaya), kami waktu itu dalam Pemuda Pas dipenjarakan kerana menentang kehadiran pasukan kriket Israel.

“Isu ini sangat mendasari umat Islam. Ini harus diurus dengan polisi negara dan amalan diplomatik yang lebih tegas untuk menunjukkan sikap Malaysia yang tidak boleh berkompromi dengan rejim Israel ini,” ujarnya dalam slot forum di Oren TV malam tadi.

Beliau menegaskan Malaysia harus terus memperjuangkan untuk menolak sebarang hubungan dengan rejim Zionis Israel atas alasan apa sekalipun.

“Kita mesti mengangkat isu ini supaya sebarang kerjasama atau hubungan diplomatik yang cuba dihalalkan tidak berlaku.

“Kita tidak boleh berkompromi dengan apa yang berlaku ini. Kita bersama rakyat dan NGO dalam dan luar negara memperjuangkan isu Palestin yang menderita dan sengsara akibat rejim ganas Israel ini,” ujarnya lagi dalam program yang dimoderatorkan pengarah komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

Slot bual bicara mingguan AMANAH, Fokus setiap Rabu itu disiarkan secara langsung di Facebook Parti Amanah Negara mulai pukul 9 malam selama sejam.

Sementara itu, Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam menyifatkan tindakan membenarkan kumpulan delegasi Israel buat pertama kali masuk secara rasmi ke Malaysia untuk menyertai WUF ke-9 itu mengundang kemusykilan.

“Ini satu keadaan yang pelik dalam keadaan Malaysia sepatutnya tidak ada apa-apa hubungan (dengan Israel).

“Ini sikap kerajaan Umno yang terlalu banyak perkara dirahsiakan daripada rakyat sendiri,” tegasnya sebagai menjawab soalan penonton Fazlizil Idzwan tentang kemungkinan Malaysia mengiktiraf Israel.

Untuk rekod, ketua delegasi Israel itu, David Roet secara terang-terang menerusi media sosial memaklumkan mereka memasuki Malaysia menggunakan pasport Israel.

Mereka antara wakil daripada 185 buah negara yang menghadiri WUF ke-9 di Malaysia selaku tuan rumah yang dianjurkan Program Penempatan Manusia PBB atau UN-Habitat.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 9.5
CATEGORIES
TAGS