Polisi pertanian negara dikaji untuk menyumbang kepada KDNK negara – Salahuddin

Polisi pertanian negara dikaji untuk menyumbang kepada KDNK negara – Salahuddin

Kerajaan akan mengkaji semula polisi pertanian negara agar dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjadikan sektor ini penting seperti di negara maju lain.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata sektor itu tidak akan dibiarkan ketinggalan selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan pertanian moden.

“Saya akan berbincang dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung mekanisme berkesan bagi membantu petani menerusi dasar pertanian yang lebih mesra petani dan nelayan.

“Usahawan muda dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berkaitan pertanian harus dibantu melalui insentif seperti tarif elektrik dan percukaian bagi peralatan pertanian yang diimport,” katanya selepas merasmikan Dialog Niaga Agrobank 2019 (DNA 2019) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan, Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Syed Alwi Mohamed Sultan.

Menurut Salahuddin tarif elektrik bersesuaian mungkin boleh dilaksanakan di kawasan pertanian pada kadar munasabah, manakala kadar cukai untuk peralatan pertanian dan perikanan seperti jentera pembajak dan pukat juga perlu dikurangkan.

Salahuddin juga meminta Agrobank supaya lebih pantas meneroka pendekatan baru kadar pembiayaan kewangan kepada petani.

“Di samping memastikan aspek keuntungan tetap dipelihara, bank juga harus menjadi lebih mesra rakyat agar masalah pinjaman petani kecil dapat diselesaikan dengan jumlah pembiayaan munasabah.

“Agrobank harus mengambil peranan agar usahawan IKS yang telah berjaya terus dibantu bagi meningkatkan lagi pencapaian mereka,” katanya.

Mengenai Dasar Agromakanan Negara, beliau berkata tahap sara diri (SSL) beras negara pada masa kini telah mencapai 71.9 peratus dan menyasar anjakan lima peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kementerian juga akan turut memberi fokus kepada peningkatan industri ternakan khususnya lembu tenusu dengan tahap SSL pada masa ini mencapai 58 peratus.

Salahuddin berkata bagi industri ternakan, kerajaan merancang mengeluarkan jagung bijian iaitu bahan utama bagi makanan haiwan yang jumlah importnya mencecah RM3.2 bilion setahun.

Kerajaan negeri Sarawak telah memperuntukkan 100,000 hektar bagi membangunkan pertanian dan kementerian akan menyasar jumlah tanah yang munasabah untuk menanam jagung bijian dan membangunkan industri pemakanan haiwan, katanya.

— BERNAMA