Malaysia Dateline

Polisi pusat buat kos sara hidup di Selangor meningkat

Kenyataan bekas pegawai Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Isham Jalil bahawa polisi kerajaan negeri menyebabkan kos sara hidup di Selangor meningkat adalah terlalu dangkal.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar, Yin Shao Loong berkata, kerajaan negeri sebaliknya mengambil inisiatif mengecualikan cukai pintu terhadap 790,443 rumah kampung dan kos rendah dengan impak kos RM113 juta.

Katanya, fi lesen niaga juga dikecualikan terhadap 162,010 peniaga dengan kos RM19.3 juta, sejak 2016 dan hanya bayaran nominal RM1,000 dikenakan bagi pemilikan tanah kediaman kepada 5,317 peneroka tanah yang tidak mampu membayar premium.

“Kerajaan negeri juga tidak pernah meminda Kaedah-kaedah Tanah Selangor 2003 dan kekal komited dengan tarif cukai tanah semasa bagi semua jenis hartanah di Selangor sejak 14 tahun lalu.

“Kenyataan Isham itu andaian semata-mata kerana hakikatnya, punca kos sara hidup meningkat adalah disebabkan penarikan subsidi barangan memasak dan petrol, kemerosotan ringgit serta pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Selangorkini.

Shao Loong berkata, Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2016 oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan penduduk Putrajaya dan Kuala Lumpur di bawah BN paling banyak mengeluarkan perbelanjaan bulanan isi rumah.

“Adakah ia berpunca daripada cukai dan kos berkaitan hartanah, perumahan dan premis perniagaan di Wilayah Persekutuan?

“Dijangkakan, kos sara hidup rakyat bakal naik mendadak, susulan arahan Kerajaan Persekutuan mahu majikan membayar levi pekerja asing, berkuatkuasa 1 Januari 2018.

“Pastinya, majikan terpaksa memindahkan kos itu kepada pengguna dan menyebabkan saiz poket rakyat terus menguncup,” katanya.

Pada 26 Disember lalu, Isham mendakwa kenaikan kos sara hidup di Selangor berpunca daripada cukai dan kos berkaitan hartanah, perumahan dan premis perniagaan dikenakan Kerajaan Negeri.

Katanya, di bawah pemerintahan BN, kadar bagi cukai berkaitan hartanah dan premis perniagaan di Selangor dan Pulau Pinang tidak setinggi apa yang dikenakan sekarang.

Beliau dilapor berkata demikian pada program Ruang Bicara bertajuk ‘Trend Pemikiran Pengundi Cina’ terbitan Bernama News Channel.