Malaysia Dateline

‘Politik abang besar’ sukar kekalkan keharmonian

Gabungan politik yang mengamalkan konsep ‘abang besar’ kebiasaannya akan menghadapi cabaran untuk mengekalkan keharmonian dalaman dan berisiko untuk berpecah, kata penyelidik.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, sesebuah parti tidak harus membuat keputusan dan pengumuman bersifat ‘unilateral’ yang melibatkan kepentingan sesebuah gabungan politik.

Mohd Yusri Ibrahim

“Sehari dua ini banyak parti-parti politik mengumumkan untuk bertanding sesuatu kerusi secara sebelah pihak, tindakan yang berpotensi mencalar keharmonian dalaman.

“Dalam kes Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim contohnya, PKR Perak patut tunggu sekretariat Pakatan Harapan (PH) bermesyuarat, membuat keputusan dan mengumumkan parti mana akan bertanding mewakili PH yang turut dianggotai oleh AMANAH dan DAP,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Dalam masa sama, Yusri berkata, mempertimbangkan keputusan bersama dengan rakan parti komponen adalah lebih beretika, beradat dan berhemah serta resepi terbaik untuk mengekalkan keutuhan kerjasama.

Apatah lagi, tambahnya, PH juga masih lagi dalam fasa ‘luka masih berdarah’ ekoran isu penamaan calon Perdana Menteri baru-baru ini.

Pada 16 Julai lalu, PKR menjadi parti terawal mengumumkan untuk bertanding di PRK DUN Slim susulan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib dari Barisan Nasional (BN).

Dalam satu kenyataannya, 17 Julai lalu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memberi bayangan akan meletakkan calon partinya yang merupakan anak tempatan dalam PRK tersebut nanti.

Sementara itu, PH Perak mengakui tidak menerima sebarang kenyataan rasmi daripada PKR Pusat berhubung peletakan calon bagi kerusi DUN Slim.

Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, hal itu masih belum dibincangkan meskipun parti itu menerusi Farhash, sudah membuat kenyataan lebih awal untuk meletakkan seorang calon di kerusi tersebut.

Untuk rekod, Allahyarham Mohd Khusairi merupakan ADUN Slim selama empat penggal mulai 2004 dan anggota Majlis Tertinggi Umno.

Pada PRU-14, beliau mempertahankan kemenangan tetapi hanya dengan 44.8 peratus undi manakala calon Bersatu mendapat 33 peratus undi dan calon Pas 22 peratus undi.

Khusairi, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim meninggal dunia di Hospital Bentong, pada jam 4.15 petang, 15 Julai lalu kerana serangan jantung selepas rebah ketika bermain golf.