Politik air di Beting Maro

Politik air di Beting Maro

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Semalam semasa lawatan ke Pusa dalam Dun N29 Beting Maro, Perdana Menteri Mohd Najib Tun Razak akan meluluskan projek air bersih untuk sekiranya BN menang dalam Pilihanraya Negeri Negeri (PRN) Sarawak.

Padahal, penduduk Beting Maro menghadapi masalah air sejak puluhan tahun di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Air bersih yang menjadi hak asasi setiap insan telah dinafikan kepada penduduk di sini, malah dipolitikkan.

Isu air saban kali menjadi bahan pilihanraya untuk meraih undi. Di Beting Maro khususnya dapat dilihat tong-tong biru diagihkan menjelang setiap PRN.

Tong biru diguna untuk menadah air hujan dan air yang diagih dengan lori-lori Majlis Daerah.

Tong biru telah menjadi sebahagian daripada lanskap separuh-kekal Beting Maro.

Penduduk merungut tentang cara tong-tong diagihkan. Ada keluarga yang diberi satu tong, ada yang mendapat lebih daripada satu, manakala ada keluarga yang langsung tidak dibekalkan dengan tong biru.

Hakikatnya, mengalirkan air bersih ke rumah-rumah tidak memerlukan teknologi yang tinggi.

Malah jaringan sungai berbelit-belit yang sudah menjadi sebahagian daripada topografi dominan di sini sepatutnya membolehkan masalah bekalan air bersih dapat segera diselesaikan.

Sayugia diingatkan terdapat sebuah loji air di Pusa, tetapi outputnya sering berubah daripada tiada air yang mengalir di paip-paip, ada air mengalir tetapi berwarna coklat, sehinggalah air jernih yang mengalir laju seperti yang disaksikan beberapa hari ini sejurus sebelum PRN.

Jelas sekali, jika wujud kemahuan, masalah air boleh diselesaikan dengan segera. Kedungguhan itulah yang menjadi halangan utama isu air tidak terhuraikan.

Yang menambah ironis, air kelihatan di mana-mana tetapi tidak sesuai digunakan.

Air yang melimpah dari sungai-sungai yang berhampiran menambah keburukan.

Setiap kali air pasang, perkarangan kampung digenangi air. Rumah-rumah dibina di atas tiang-tiang manakala titi-titi dibina sebagai rangkaian jalan yang menghubungkan rumah penduduk.

Penduduk akan memohon titi-titi kayu diganti dengan titi-titi konkrit, dan ini juga telah menjadi isu PRN.

Ada tempat yang dibina jalan konkrit tinggi manakala tempat lain dibiarkan dengan titi-titi kayu yang dimakan hari.

Yang diperlukan bukan titi-titi, kayu atau konkrit, tetapi satu sistem perparitan yang berkesan.

Air kelihatan di mana-mana, tetapi berada di tempat yang tidak sesuai, tidak mengalir di paip-paip tetapi bertakung di laman-laman dan di bawah rumah, melahirkan keadaan berselut yang menjijikkan.

Inilah politik air. Masalah yang mungkin sengaja dibiarkan begitu sahaja, melanda Sarawak, dan hanya diselesaikan sebagai janji dan habuan pilihanraya, itupun secara separa dan ad hoc.

* Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Biro Tanah dan Pembangunan Luar Bandar Amanah kini sebagai pemerhati PRN Sarawak bagi Dun Beting Maro.

CATEGORIES