Politik berbelit dibenci rakyat, tegas Pemuda Amanah

Politik berbelit dibenci rakyat, tegas Pemuda Amanah

Pemuda Amanah Nasional menyeru kesemua komponen Pakatan Harapan supaya berhenti daripada terus mengelirukan rakyat ketika keadaan semakin menekan hasil kepincangan parti pemerintah pada masa ini.

Naib Ketuanya, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, ini termasuklah sikap meremehkan rakan parti pembangkang pada ketika rakyat mahu menjatuhkan rejim Umno-BN.

“Sudah-sudahlah keluarkan kenyataan berbelit, rakyat hanya menuntut satu perubahan dan tindakan drastik untuk kerajaan BN diturunkan melalui pilihanraya.

“Paling mendukacitakan apabila ada yang sanggup memperkecilkan kemampuan rakan komponen pembangkang sedangkan mereka lebih mesra pula dengan pihak yang selesa bersama BN,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tiada siapa lagi dapat menafikan BN khususnya pada zaman Najib Razak membawa banyak malapetaka kepada rakyat dan negara.

“Namun, sayangnya tatkala rakyat semakin jelas mahu menolak BN tetapi pihak pembangkang bersilat dan berpecah demi kepentingan tertentu.

“Rakyat sudah amat derita. Mereka hanya mahu melihat BN segera diturunkan tetapi rakyat juga meluat melihat gelagat pimpinan pembangkang yang terus berpolemik dan berbelit,” jelasnya.

Mengulas lanjut situasi blok pembangkang mutakhir ini, beliau mengingatkan agar kepentingan dan hasrat rakyat tidak digadaikan hanya kerana sayangkan jawatan.

“Kuasa yang dimiliki ini hanya sementara. Rakyat menilai dan jangan sampai peluang yang ada kini terkubur dek sikap kita yang berbelit kata.

“Kita bukan sahaja mahu tumbangkan Najib Razak tetapi BN keseluruhannya. Ini peluang terbaik. Jangan khianati rakyat yang memilih kita,” tegas Fakhrulrazi.

Tentera Al-Fateh

Menyokong gesaan Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil sebelum ini bahawa menumbangkan BN satu kewajipan, beliau berkata, rakyat dibimbangi akan menghukum pembangkang jika Pakatan Harapan hilang tumpuan tersebut.

“Fokus kuatkan Pakatan Harapan yang sudah terbina bukan berlakon bersama pakatan tetapi lebih nak menjaga perasaan mereka diluar Pakatan Harapan. Jangan jadi hipokrit,” ujarnya.

Sehubungan itu, Fakhrulrazi mengingatkan beliau tidak akan membiarkan mana-mana pihak terus memperlekeh Amanah dengan alasan kononnya parti Islam itu masih baharu penubuhannya.

“Saya selaku ahli dan pimpinan Parti Amanah Negara tidak akan berdiam diri apabila parti kami dihina dan diperlekeh.

“Ingat tentera Al-fateh boleh menumbangkan kerajaan Byzantine walau mereka bukan kerajaan besar ketika itu. Lama dan baru bukan ukuran cuma yang bodoh berfikiran begitu.

“Ingat, rakyat bukan mesin yang boleh dikawal tetapi mereka adalah manusia yang boleh berfikir dan bertindak,” tegasnya lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)