Malaysia Dateline

Mohd Sany Hamzan

Politik berdasarkan kebencian perlu ditolak, kata Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH Nasional menyambut baik seruan YAB Perdana Menteri Tun Mahathir agar amalan politik perkauman dihentikan.

Ketuanya, Sany Hamzan berkata, politik perkauman yang didasarkan pada semangat kebangsaan melampau yang membuta tuli boleh membawa kekacauan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

“Politik yang berdasarkan kebencian perlulah ditolak dan dijauhi sebelum ia membarah di dalam masyarakat.

“Politik perkauman yang mengangkat bangsa sendiri dengan merendah-rendahkan kaum lain tanpa asas akan mengganggu gugat keharmonian kaum yang dirasai segenap anggota masyarakat sejak sekian lama,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Ujar Sany, Pemuda AMANAH Nasional menyeru setiap pihak supaya meninggalkan amalan politik perkauman dan berhenti menilai setiap isu serta permasalahan yang timbul dari kaca mata perkauman.

Tindakan mengapi-apikan sentimen perkauman tanpa mengambil kira kesannya kepada negara adalah perbuatan yang bukan sahaja tidak bertanggungjawab malahan boleh menjadi api dalam sekam, jelas Adun Taman Templer itu.

“Semangat Malaysia Baharu yang dibina hasil kerjasama setiap bangsa dalam negara yang cintakan keamanan, kesejahteraan dan negara yang bebas dari rasuah perlu dipupuk dan dipertahankan.

“Rakyat haruslah menunjukkan keberanian untuk menolak mana-mana pihak yang cuba merobohkan semangat ini,” kata beliau.