Malaysia Dateline

Politik bola Mesut Ozil

Mesut Ozil bukan sahaja tangkas bermain bola sepak tetapi bijak dengan politik bola. ‘Timing-nya’ membuat ulasan seolah-olah dirancang bertepatan dengan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur.

Kalau tidak silap saya lebih kurang dua tahun dahulu, beliau menggemparkan sukan bola sepak antarabangsa bukan dengan kehandalan mengelicik tetapi dengan politiknya.

Gambarnya dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mencetuskan kontroversi dan akhirnya tidak lagi mewakili negara Jerman. Beliau adalah warga Jerman

Pada Jumaat lepas, pemain tengah Arsenal itu membuat jaringan gol di media sosial dengan menawarkan bantuan kepada etnik Islam Uighur dan mengecam negara Islam lain yang tidak mengkritik layanan tidak berperikemanusiaan kerajaan China ke atas etnik Islam tersebut.

Kalau membaca ciapan Ozil di Twitter dan komennya di Instagram beliau menyebut “Qurans are being burnt. Mosques are being shut down. Muslim schools are being banned. Religious scholars are being killed. Brothers are forcibly being sent to camps.” Beliau menambah  “The Muslims are silent. Their voice is not heard,”

(kiri) Mesut Ozil dan (kanan)  Recep Tayyip Erdogan 

Isnin lepas, jurucakap Kementerian Luar China menyatakan bekas pemain bolasepak Jerman itu telah diperdayakan oleh berita palsu. Penyokong China dilihat telah membakar jersi pemain tersebut .

Bahkan akaun Ozil di Weibo (medan media sosial China) yang dikuti oleh lebih kurang 4 juta penduduk China telah menyelar sikapnya dengan melemparkan kata-kata kesat.

Laman sesawang sukan paling popular di China, Hupu telah menggantung semua liputan berkaitan dengan Ozil sementara platfom komunikasi berpengaruh China, Baidu Tieba telah menutup forum yang didekasikan kepada Mesut.

Pada Ahad lepas, siaran langsung perlawanan liga perdana Inggeris antara Arsenal melawan Manchester City telah ditangguhkan.

Kelab bola sepak Arsenal bagaimanapun membuat kenyataan bahawa mereka tidak telibat dalam poltik.

 Erdogan yang biasa dengan kritikan berapi-api memperjuangkan nasib umat Islam di Xinjiang, China tetapi ketika bertemu Presiden China Xi Jinping, di Beijing, beliau diam membisu. Penguasa Turki ini seolah-olah yakin bahawa terdapat penyelesian di Xinjiang.

Kalau Erdogan yang dahulunya keras bersuara malah pernah menggunakan istilah genosid pada 2009 namun turut dikritik kerana tidak menunjukkan kelantangan yang sama kali ini.

Pada 2009, tercetus krisis antara Ankara dengan Beijing akibat kenyataan lantang Erdogan. Namun pada 2013 Erdogan menyuarakan hasrat menyertai Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), pertubuhan serantau di Asia Tengah yang salah satu agenda utamanya ialah memerangi gerakan pengganas dan pemisah, telah dijadikan alasan utama Beijing dalam mewajarkan tindakannya terhadap Uighur.

Apakah ada perkara yang menarik untuk Erdogan tidak mengkritik China secara terbuka?

Perkembangan terbaru ini menunjukkan jika Erdogan tidak dapat menyuara dengan lantang mengenai ketidak perikemanusiaan China ke atas etik Uighur, beliau telah menggunakan kuasa lunak mungkin melalui Ozil bintang popular dengan kekuatan kuasa lunak. Suara Ozil boleh mendapat sokongan popular dunia Islam.

Ozil memang pandai menggunakan kuasa lunak dalam isu Uighur sehingga mendapat sokongan Mike Pompeo, Setiausaha Negara AS.

Ozil telah menolak bola ke kaki Erdogan, pemimpin berpengaruh dunia Islam yang kini menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, yang salah satu agendanya ialah membincangkan isu-isu penting umat Islam.

Erdogan pula tentu akan menghantar bola kepads keptan pasukan Sidang Kemuncsk KL. Apakah pula pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku ketua pasukan?

Sehingga artikel ini ditulis tiada kenyataan ketua pasukan iaitu Dr Mahathir, mungkin juga tiada sidang media dan jika ada ia terbuka kepada media rasmi sahaja.

Tetapi pendirian dan keseriusan tindakan Kuala Lumpur dan negara-negara tonggak sidang ini, akan menjadi satu ujian terbaharu kepada dunia Islam dalam menangani isu hak asasi manusia yang dikatakan melibatkan China yang semakin mengukuhkan kuasa dan pengaruhnya sebagai kuasa besar dunia, yang menyangi Amerika Syarikat (AS).

Namun pada masa yang sama, negara-negara tonggak harus arif dan bijak dalam mengurus isu hak asasi di China atau membuat sebarang kenyataan mengenainya. Sidang Kemuncak Kl juga tidak seharusnya menjadi medan untuk memusuhi China. Tindakannya haruslah ibarat menarik di dalam tepung supaya tepung tidak berselerak.

Mungkin peranan yang dimainkan Ozil adalah strategi yang lebih baik dan lunak, biar ia datang dari suara seorang yang terkenal dan popular dan boleh memberikan impak sokongan penduduk dunia dan negara bukan Islam juga.

Negara seperti Iran, Turki, Pakistan dan juga Malaysia mempunyai hubungan yang rapat dengan China, penjagaan keharmonian hubungan adalah penting. Atau perlukah melibatkan Arab Saudi dengan OIC yang peranannya ternyata mengecewakan dalam membantu umat Islam.

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikas, Seni Visual dan Pengkomputeran, Unisel.